Wahai Pelakar-pelakar Kenangan.




Buat mereka yang hadir dalam hidup ini, biarpun sebagai Pembawa Derita.
Terima Kasih, kurang-kurang aku tahu rasanya derita.
Wahai Pembekal Senyuman, memberi tanpa bayaran,
Mekar di bibir sebagai ubatan.
Wahai Penyalur Kekuatan Bervoltan Tinggi,
Genggaman tangan renjatkan sugul ini.
Wahai Penari-penari Ketenangan,
gerak tarimu hilangkan beban di benak.
Wahai Pemakan Hati, hati-hati.
Jangan sampai kau yang sakit. Nanti hati cepat mati.
Wahai Pencabar Sabar, teruskan usahamu.
Itu latihan tingkatkan imanku.
Wahai Penunggu Harapan, yang mengharapkan masa depan.
Semoga penantian itu tidak menyeksamu.
Wahai Tuan Punya Barang, barang itu ada padaku.
Amanahmu aku jaga.
Wahai  Pentafsir Serong, yang menyerongkan segala laku dan tuturku.
Tidak mengapa. Kurang-kurang aku tahu tidak semua lurus.
Wahai Pembunuh Semangat, semangatku yang tinggi.
Kau jatuhkan, berderai…!!!
Aku yakin. Dunia semangat bergraviti.
Wahai Yang Terasa, aku juga biasa.
Kadang langsung tak sedar ia berbisa.
Wahai Yang Bersama, disisi tika gelak dan air mata,
setiap masa berkongsi cerita dan rasa.
Wahai Pengadu Setia, aku hanya mampu angguk dan geleng.
Aku mungkin kuatkan kamu, kadang aku lemah dalam jiwaku.
Wahai Penjaja Cerita, semoga yang baik-baik saja.
Jajaanmu tak daya aku jaga.
Wahai Penyentap Perasaan, tersentap dalam gurau dan tawa.
Mengajar aku susun kata-kata.
 Berusaha sampai hilang rajukmu.
Wahai Yang Cuba Dekat, silakan.
Kita lebarkan ukhwah.
Wahai Pemujuk, rajinnya kamu.
Melayan sikap anak-anak ini tanpa jemu.
Wahai Pendengar Setia, harap kau tak bernanah telinga mendengar itu dan ini.
Wahai Siapapun Kamu, juga mengisi erti hidupku.

Untuk semua Si Wahaiku. Terima kasih.

Terima kasih atas apa saja yang berkaitan dengan hidup aku.
Nanti sampai suatu masa. Aku tidak meminta lebih.
Usah bersusah dari jauh ke kubur itu.
Usah ditabur bunga ke kubur itu.
Tidak disiram kubur itu pun, tidak mengapa.
Aku hanya mahukan.
Doa dan sedekah.
Halal dan kemaafan.

Sekali lagi laungan “Terima kasih” Wahai Pelakar-pelakar Kenangan.

Ya Allah…
Aku bersyukur pada-Mu Wahai Yang Satu.
Alhamdulillah.
| Terus kuatkan aku. |




* aku dah 'notekan' kat Fb... Saja je nak jadikan entry...
Terima kasih "
Wahai Pemfollow" huhuhu... :)




Pantun Berbalas Kasih.

Assalamualaikum. Salam berbalas pantun. <3

Sinar mentari ke dahan pokok,
   Mustahil bayangnya terhasil lurus;                      
Jika bersamamu aku terbengkok,
   Aku sanggup tinggalkan lurus.

Pohonnya lalang melambai sakan,
   Akarnya kukuh tanah satukan;
Jika lurus engkau abaikan,
   Isterimu bengkok gagal kau luruskan.

Tegak Sena ditengah desa,
   Teduh rimbun tempat bertapa;
Jika ilmumu penuh di dada,
    Untung suami berumah tangga.

Kemboja indah kelicap singgah,
   Kelicap terbang indah tak jemu;
Jika engkau imam yang gah,
   Usah risau siapa makmummu.

Batang nyiur budinya titi,
   Pelepah ke sungai turut mengalir;
Jika engkau muslimah sejati,
   Kelak anak kitab di bibir.

Dahan cempaka jadinya arang,
   Tidak hitam padanya meranti;                                                
Apa diharap ilmunya orang,
   Tidak iman boleh diwarisi.

Embun sedih keladi gagal,
   Berembun tidak sedari dulu;
Jika engkau banyak persoal,
   Entah bila kita kan bersatu.

Desir halus sekawan palas,
   Gagal serasi serentak tidak;
Jika engkau gagap membalas,
   Entah jadi entahkan tidak.

Jangan kacau rimbun semalu,
   Hilang kembang kucupnya kaku;                                                       
Jika untukku tiada yakinmu,
   Ambil kapak belah dadaku.

Indah mawar tatapan pujangga,
   Hilang harum jadinya lusuh;
Jika mahu dirikan musala,
   Cinta sahaja tidak utuh.

Tumpangnya kesturi jadi warisan,
   Tumbuh sendiri terasa ragu;
Jika itu engkau debatkan,
   Aku harus pergi berguru.


Terima kasih. :')

* gambar dari carian google.



Bercinta biar kena dengan cara. - Salah bercinta boleh jadi gila.

Assalamualaikum. Salam cinta sepenuh hati. <3

Sebut saja 'Cinta' , mampu membuat ramai tersenyum. Mungkin ada yang tetiba saja muka berubah rona. Aikh... dah kenapa kamu...? Herrmm...faham-faham la tu. Indahnya dunia kan...? Hanya terbayangkan wajahnya kita sudah terbang sampai ke langit tinggi.

" Setiap helaan nafas, setiap degupan jantung terasa kau ada bersama, mengalir darah cinta dan sayang sepenuh jiwa, dalam doa namamu terselit. Kau cintaku. "


Kadang-kala, biarpun terlalu indah ukiran cinta kita. 
Namun, jika ia bukan untuk kita kongsikan bersama. 
Ia tetap tiada berpihak kepada kita. 
Pergilah cari cintamu yang sebenar, yang mampu dikongsi sampai ke syurga.


Madah hebat seperti " lautan berapi sanggup ku redahi...", "lautan dalam sanggup ku renangi..." dan banyak lagi lah laut yang dia sanggup kuak lentang demi mendapatkan cinta si pengarang jantungnya. Itu semua bagi membuktikan betapa dirinya sanggup berkorban segala apa -apa saja. Erm... Hiperbola kan... huhuhu.

Suka untuk kita ingati bersama. Cinta biar berpada-pada, biar kena dengan usia. Jangan sampai mudah tergoda nanti diri sendiri yang tanggung sengsara. Ditanya pula, anak dara siapa...? perut memboyot itu kenapa...? kahwinnya bila...? tak jemput pun jiran tetangga... ha'... mana nak letak muka...? dah terconteng arang, bukan saja hitam, tapi rasa terkena bara, jiwa terluka 'Si Teruna' entah ke mana. Kasihan ibu bapa, jaga sedari kecil hingga dewasa, mula rosak akal bila kenal cinta. Untuk 'sayang' semua bisa, pada mulanya hanya meraba, itu yang jadi cukup bulan... 'hasil cinta' jadi sisa. Dah keluar 'paper', banyak pula mulut  bercerita, "dah berzina membunuh pula" , yang ramainya anak bangsa kita. Macam dah tak kenal dosa pahala. 

Allahuakbar...!!! Jauhilah kami dan keturunan kami daripada maksiat. Ampunilah dosa-dosa kami. Aamiin.



Wanita... Kamu yang harus pandai menjaga diri. 

Otak Orang Bercinta Tidak Stabil. 
( Utusan Malaysia, 13 November 2012. Muka 14. Luar Negara. )

Pakar neurologi cuba menrungkai kenyataan itu dengan melakukan kajian ke atas apa yang berlaku pada otak ketika seseorang itu sedang dilamun cinta. Mereka mengimbas apa yang berlaku di dalam otak, selain memetakan perubahan kimia pada bahagian yang tidak aktif apabila seseorang mengalami perasaan itu. Hasil kajian mendapati bagaimana seseorang yang bercinta boleh menjadi gemuruh dan tidak stabil. 

Mereka mendapati korteks hadapan otak yang membuat pertimbangan, menjadi tidak aktif apabila seseorang itu bercinta. Imbasan otak juga menunjukkan ketika bercinta, bahagian otak yang mengawal ketakutan dan perasaan negatif tidak berfungsi dan ia menerangkan mengapa seseorang ' tetap gembira ' dan tidak takut apa akan berlaku apabila diserang penyakit cinta. ' Kegilaan ' ini juga dikatakan menyebabkan orang yang bercinta sukar menerima nasihat daripada rakan-rakan untuk tidak meneruskan hubungan sulit di luar perkhawinan.

Ish...ish..ish...Dahsyatnya....


1- Kawalan ketakutan   2- Kawalan emosi negatif
3- Kawalan penilaian   4- Kawalan empati

  Ya Allah, jauhkanlah kami
  daripada 
     kelekaan dan kealpaan 
   berkasih sayang sehingga terlupa 
   menyebut nama-Mu. Aamiin.

~ Bukan bermaksud anti-bercinta. Tetapi tulus dari hati untuk saling mengingati, agar tiada yang alpa dan terpedaya. Sama ada daripada syaitan, betina atau jantan. Bukan juga bermaksud, sayang bunga layu di pohon tapi biarlah kena dengan masa, usia dan cara. Mohon diampun andai ada yang terasa, saya yang hina ini cuma ingin berkongsi bersama teman. Apa yang terlebih dan terkurang, harap sudi perbetulkan.

Sekian. Salam kasih sayang dan cinta untuk semua. 

* empati : daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain.

Terima kasih. :)








Putera & Puteri.

Assalamualaikum. Salam penuh keceriaan.


Petang tadi, aku ke bandar. Jalan sesak, ditambah pula dengan hujan yang turun lebat dengan tiba-tibanya. Hingga menyesakkan jiwa aku... huhuhu. Sungguh aku perlukan sebuah kedamaian tanpa bunyi hon-hon kereta, jauh dari segala kelam kabut. Dah lebat semacam saja hujan ni, aku terpaksa berhenti pekena secawan teh panas di sebuah kedai yang bersebelahan dengan kedai buku.

Melihat pada hujan yang semacam tak mahu mengalah. "Bang. Roti Canai Sardin satu ya." . Tak sampai seminit, pesananku siap. Erm...hairan aku. Cepatnya. Nasib rotinya berasap panas. Radio yang sedang 'berdentang- berdentong' tu di matikan. Beri hormat kepada panggilan azan dari masjid berdekatan. Dah masuk waktu asar.

Aku terus menikmati cicahan akhir roti canai pada kuah kari tadi. Radio yang dimatikan tadi, belum dinyawakan balik. Mungkin tuannya lupa. Daripada kealpaan itu, aku berjaya menangkap perbualan lelaki dan perempuan di meja belakangku. Tidak pula aku menoleh. Aku fikir mereka sepasang kekasih.

Mereka sedang bergaduh mulut, mungkin juga perasaan mereka sedang bergusti...huhuhu personafikasi sungguh. Kata Si lelaki, dia sanggup buat apa saja untuk hubungan mereka. Balas Si Gadis ( pada suaranya, aku bayangkan dia gadis...) , macam mana dia boleh lakukan apa saja kalau hubungan tak direstui keluarga. Kata lelakinya pula, dia mampu menyakinkan keluarga kalau gadisnya sanggup bertudung dan berbaju kurung. Terdengar tawa kuat Si Gadis.

 "Awak... Awak tu masjid pun tak kenal, sah-sah ambil wuduk pun dah lupa. Awak nak saya bertudung ?. Awak bukan ustaz nak suruh saya jadi ustazah awak. " disambung lagi tawanya.
"Kurang-kurang mak saya tengok awak bertudung, baju kurung... bukan pakai legging macam ni, nak buang air pun susah."
"Habis, mak awak nak ustazah untuk anaknya yang bergelang berantai ni."
"Rantai ni boleh saja tanggalkan..."
"Tudung pun boleh saja letak kat kepala...Alaa... sayang. Kita dah sekufu."

Dan macam-macam lagilah yang mereka debatkan. Aku dalam menahan gelak teringat kat Riwayat Imam Muslim, sabda Rasulullah saw. " Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki  yang sekufu dengannya."





Dalam Suruh al-Nur ayat 26, Allah berfirman yang bermaksud : " Wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. "




Ikut kata ibu ayah, percayalah kita tak kan rugi.

( Terpulang kepada pembaca untuk menilai dialog yang tak sengaja didengari itu dengan firman Allah dan sabda Rasulullah. )




Sekian. Salam sayang untuk semua.


Selamat Pengantin Baru kepada anda yang bakal melangkah ke dunia baru. Dunia yang penuh dengan bunga-bungaan dan duri-durian. DURIAN... Erm...sedapnya... :p