Dia Pergi Dulu.

Assalamualaikum.

Pernah terima 'Salam Perpisahan' ? Mesti sangat perit nak terima kan...?

Berpisah, tapi masih ada peluang untuk intai-intai lepaskan rindu. Bolehlah tersenyum seorang diri di balik pokok kelapa, tengok dia dari jauh. 

Melalui detik perpisahan buat selamanya, itulah saat yang paling terkesan dalam hidup manusia yang punyai cinta dan kasih di hati. Sungguh payah nak ditelan, masakan diluah jika berpegang kepada rukun Iman keenam. Orang yang kita sayang terpisah ke dunia sana. Kenyataan yang harus diterima waras, walau luluh bercempera hati kita, bagai terkubur sama. Tak mengapa, fitrah jiwa manusia. Bersedih hari ini dan esok harus bangkit teruskan kehidupan selagi diberi peluang, sebelum berpeluang mengikut mereka ke sana. Kekal.



Malam itu, tidur yang diharapkan lena tanpa diganggu mimpi. Tapi terjaga di lewat malam dan terasa rindu yang teramat sangat. Rindu pada arwah yang memang tak dapat diluahkan. Terbayang semua kenangan bersamanya. Hahaha... Indahnya. Tersenyum sambil menyapu lelehan air mata.


Sungguh rindu ini tak dapat diubat. Masih segar terasa kucupan kasihnya di ubun ini. Sayangnya, tak akan dapat lagi. Kucupan sayang dan hormat terakhir buatnya dulu masih melekat di ingatan. Saat itu, lama dibiar bibir menyentuh lembut dahi dinginnya, menahan daripada tertitis air mata. Ada tangan yang menarik daripada berlama begitu. Perlahan menyapu kapur yang melekat di bibir. Tabahlah wahai hati. Kuatlah wahai diri untuk terus melihatnya saat-saat terakhir begini. Biar kaki longlai, jangan mata terlepas melihat. Disumbat kapas ke rongganya, wajah yang tersenyum itu ditutup rapi. Diikat kemas. 



Terasa baru semalam dikejutkan solat subuh, baru semalam berborak di pangkin itu, baru semalam dikupaskan buah kuini, baru semalam dibela, baru semalam ditirai kelambu, baru semalam tangis di pundaknya, baru semalam mengiringinya ke tanah perkuburan itu, baru semalam dia ditalkinkan. Err... Rupanya sudah bertahun dia dijemput pergi. 

Untuk segala budinya, untuk semua curahan kasihnya. Lekas bangun dari terusan melayan renehan sengsai, ambil air suci, kirimkan surah ke-36 lengkap 83 ayat. Semoga sempurna sampai kepadanya. Semoga tenang dia di sana.


Biasanya pada saat kehilangan, barulah manusia sedar akan kewujudan, barulah manusia berpeluang merasakan kesunyian, kerinduan, mungkin juga kesengsaraan jiwa, hanyut dari dahan berpaut yang tak pernah  di "terima kasih". Mungkin juga ada cinta yang tak terluah, ada rajuk yang tak dibujuk, ada salah yang tak diampun, ada hutang yang tak dilunas, ada hadiah yang tak terberi, ada permintaan yang tak ditunai, ada harapan yang dibiar tak dipeduli. Walau banyak manapun yang ada belum diselesaikan. Hakikatnya dia sudah tiada. Tiada di dunia di mana kita berpijak kini. Jumpa di sana. :)

Al-Fatihah.
Kasih Allah. Kasih manusia.
| Malik al-Mulk |








Beta Dalam Segala.

Aku bertuah.
Ucapku bagai titah
Tak menurut aku melatah
Aku dilayan kerana mentah
Walau semua sudah menyampah
Nanti aku diendah tak endah
Kerana aku hanya pandai bermadah
Kurang bijak dalam bertingkah.

~ Guna beras yang mahal pun, kalau tak pandai masak... Boleh juga JELANTAH... huhuhu :p



Semalam aku telefon dia lagi...


Tiap-tiap hari aku nak dengar suara dia... huhuhu kadang dah habis modal nak borak. Ye lah, tiap-tiap hari telefon. Tapi dia tetap layan aku... huhuhu Sweet kan dia? Hmm...
Macam biasa, aku akan tanya dia, "Masak apa hari ini?" 
dan wajib dia akan jawab, "Alaa... ikan goreng je..." 
Ha...? Ikan goreng je... Tiap-tiap hari ikan goreng. Aku tahu dia tipu. :)

Teringat pula pada pasangan dia, yang tak pernah cakap tak sedap. Semua apa yang dia masak. Pasti ! Pasangannya akan makan dengan sungguh berselera, walau masin, tawar, kalau nasi hangit pun boleh tambah 2 3 pinggan. Hmm... Seronok tengok mereka ni. Biasanya dia akan tunggu pasangannya makan sambil cerita macam-macam dan pasangannya pula akan angguk saja. Aku pun nanti nak pasangan macam tu lah...huhuhu ;)  Dah lah, selalu tenang... 

Pernah sekali kami asyik duk borak-borak, sambil dia yang  memasak, aku tunggu nak makan saja... huhuhu. Tetiba dia suruh aku tolong tengok-tengokkan lauk kat atas dapur tu. Ingatkan dia nak pergi mana. Rupanya pergi menyorok kat tepi peti ais sebab pasangannya dah balik waktu lunch. Pasangannya pula, buat tak tahu saja. Entahlah nampak ke tidak. Sudahnya, dia merajuk...
"Balik rumah, tapi tak cari saya pun...", katanya... 
"Ooo... menyorok ke tadi? Kenapa tak bagitahu...?" hahaha... Comel sungguh.

Rumah tu pula. Kalau tak ada dia. Sunyi. Tak tahu nak buat apa. Tengok tv pun macam tak ada suara. Hmm.. dahsyat kan...? Semangat dia tu... Kalau dia hilang semangat, hilang seluruh semangat warisnya. Tapi pasangannya akan sedaya pulihkan semangat dia, untuk semangat waris-warisnya juga. Itu antara yang dimaksudkan saling melengkapi... Kan...?

~ Salam sayang buat Ma & Abah. <3




Aku Menteri.

Ini negaraku...
Negara yang berterusan diserang,
mohon genjatan senjata, tak diendah,
mohon perdamaian pun tak diendah.

Di seberang sana... penyerang masih mengamuk,
rakyatku takut... itu tak perlu bukan salah negara kita,
sekalipun salah, telegram maaf dah dilayangkan...
ada juga rakyatku, tercedera...
ada yang bangkit, nak balas serangan, aku tahan...
itu juga tak perlu...

Cukup dengan kubu kesabaran ini,
kubu yang teguh tika diuji peluru berbisa...

Bukan!!!
aku bukan menteri yang lemah,
aku bukan takut berjuang,
aku perlu untuk membela negara,
tapi bukan dengan peluru berbisa.

Tak kan ada bedilan balas dari negaraku,
kerana menterinya tak mahu rakyat di sini dan di sana,
Tercedera.
Sekalipun cepat luka itu sembuh, parutnya makan masa.

~ Allah menjaga kita.



* Kita yang mentadbir diri kita. Banyak benda perlu ditimbang fikir berulang kali.
Fikir untuk diri sendiri dan keluarga. Kemudian fikir untuk mereka yang lain juga.
Untung-untung dalam diam ralit duk berfikir, serangan dah tamat. Ukhwah mula nampak seperti nak dibaikpulih. Alhamdulillah. Terimalah kasih. :)



Mudah-mudahkan.

Jangan salah faham
Jangan fikir bukan-bukan
Kita semua kawan-kawan
Apa salah kita kongsi-kongsikan
Sebarkan kasih dan sayang.

Mari kawan, kita dekat-dekatkan
Kau tak nampak biar kami bacakan
Kau tak dengar biar kami kuatkan
Kau tak faham biar kami ajarkan
Semoga makbul doa kejayaan.

Ada yang lebih, bahagi-bahagikan
Ada  yang salah, maaf-maafkan.




Susah! Susahkan yang senang.

Kalau rasa senang ini tidak lagi
disenangi...
Sudah jadi susah...

Pernah dengar kata 'hati',
'kebetulan' dan 'keikhlasan'...?

Secara kebetulan, hati ini menerima
rasa itu, kerana dapat rasai getar
keikhlasan...

Tinggalkan saja rasa buruk,
biar sama-sama rasa senang.
Kenapa perlu perbesarkan yang buruk?
Jika buruk tak sebesar yang baik...

Memenatkan.

Jangan terlalu asyik mengangguk saja,
bimbang lupa cara mengeleng.
Dengar sana...
Dengar sini...
Guna akal.
Diam dan senyum.

Senang kan...?



Mohon Perkenan-Nya.

Sehebat-hebat cadangan.
Sebaik-baik perancangan.
Tiada perkenan Illahi, tiada yang dapat berjalan.

Kenapa itu? Kenapa ini?
Salah situ, salah sini...
Harus buang jauh-jauh
Harus balik pada yang tadi :
"Tiada perkenan Illahi, tiada yang dapat berjalan."

Ayuh fikir dalam-dalam
Senyum dan telan
Telan apa saja
Buat apa yang terdaya
Bukan tebus masa yang rugi
Tapi sayang masa yang ini.

Redha itu perlu kuat
Baik buruk Allah yang buat
Itu Dia punya cara
Untuk uji rasa cinta.

Tadah...
Jangan berhenti meminta
Untuk kita,
dia dan mereka
Yang baik, sama-sama merasa
Moga jadi cerita
di akhirat sana.

Itu juga,
jika ada perkenan-Nya.

Sekian. Sayang semua.